Selasa, 7 Mei 2019

Peraturan terbaru penggunaan cermin gelap, kadar VLT peratus ketelusan cahaya

Peraturan terbaru penggunaan cermin gelap, kadar VLT peratus ketelusan cahaya. Kerajaan akan membuat pindaan terhadap penggunaan lapisan filem atau cermin gelap seperti mana yang digariskan di dalam Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991. Kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam satu sidang akhbar yang dibuat sebentar tadi.

Peraturan terbaru penggunaan cermin gelap


Pindaan ini dibuat bagi meningkatkan aspek ketelusan dalam proses pertimbangan ke atas permohonan penggunaan cermin yang lebih gelap, selain meningkatkan hasil kerajaan.

Berdasarkan pengumuman yang dibuat, pindaan ini akan membenarkan penggunaan cermin dengan kadar ketelusan cahaya lebih rendah bagi bahagian cermin sisi kiri dan kanan penumpang dan juga cermin belakang iaitu tiada had, boleh gelap sehingga 0% VLT.

Ia diikuti dengan syarat bahawa kenderaan motor tersebut perlulah dilengkapi dengan cermin pemantul sisi (side mirrors).

Ia merupakan peningkatan daripada peraturan semasa yang membenarkan kadar ketelusan cahaya pada cermin penumpang kiri dan kanan serta cermin belakang pada kadar 30 peratus sahaja.

Walaubagaimanapun, kadar ketelusan cahaya tampak bagi cermin hadapan, serta cermin sisi kanan dan kiri pemandu masih kekal dengan peraturan semasa (50 peratus dan 70 peratus).

Selain daripada itu, bagi mereka yang memohon untuk menggunakan cermin yang lebih gelap atas faktor keselamatan dan faktor kesihatan, bayaran perkhidmatan akan dikenakan sebanyak RM50 untuk setiap permohonan.

Manakala permohonan yang diluluskan pula akan dikenakan bayaran sebanyak RM5,000 dan kelulusan tertakluk kepada tempoh selama dua tahun.

Permohonan pengecualian atas faktor kesihatan hendaklah mendapatkan kelulusan bertulis daripada pakar perubatan kerajaan dan akan dikecualikan daripada sebarang bayaran.

Peraturan baharu ini akan berkuatkuasa esok (8 Mei 2019) dan penguatkuasaan peraturan baharu ini akan bermula tiga bulan daripada tarikh peraturan ini berkuatkuasa.