Rabu, 1 Mei 2019

Ketuk-Ketuk Ramadan 2019 merupakan musim terakhir - Sheila Rusly

Ketuk-Ketuk Ramadan 2019 merupakan musim terakhir. Sejak mula bersiaran pada tahun 2004, program masakan popular, Ketuk-Ketuk Ramadan sudah sebati dengan penonton yang saban tahun menunggu kerenah hosnya Sheila Rusly 'bersilat' di dapur bersama selebriti jemputannya.

Ketuk-Ketuk Ramadan 2019

Kini, selepas 15 musim ditayangkan menerusi TV1, JS Pictures, syarikat yang menerbitkan program tersebut mengesahkan bahawa Ramadan 2019 merupakan tahun terakhir Ketuk-Ketuk Ramadan bersiaran.

Menurut pengarah dan pemilik bersama JS Pictures, Azman Yahya atau Jinggo, keputusan tersebut diambil selepas mempertimbangkan beberapa faktor terutamanya peningkatan kos produksi sejak lima tahun lepas.

Senarai Episod Ketuk-Ketuk Ramadan 2019

Episod 1 - Andi Bernadee
Episod 2 - Mona Allen
Episod 3 - Erwin Dawson
Episod 4 - Nazim Othman
Episod 5 - Fatin Afeefa
Episod 6 - Zulin Aziz
Episod 7 - Zarul Umbrella
Episod 8 - Emma Maembong
Episod 9 - Dato' Aznil
Episod 10 - Fahrin Ahmad
Episod 11 - Aidil Aziz
Episod 12 - Azar Azmi
Episod 13 - PU Azman
Episod 14 - Elly Mazlein
Episod 15 - Abam Bocey
Episod 16 - Ain Edruce


Mewakili Sheila, Jinggo memberitahu bahawa isterinya itu sudah kepenatan selepas 15 tahun mengendalikan program tersebut dan sekarang adalah masa yang terbaik buat mereka mengundur diri.


KOSMO!: Apakah punca Jinggo dan pasukan penerbitan mahu menamatkan program kegemaran ramai tersebut?

JINGGO: Faktor utama harus diakui adalah peningkatan kos produksi yang membebankan kami terutama dengan keadaan ekonomi negara sekarang. Sejak lima tahun lepas, kos tersebut semakin bertambah sehingga kami berasa, sudah tiba masanya Ketuk-Ketuk Ramadan ditamatkan program berkenaan berada pada tahap terbaik.

Adakah keputusan tersebut sudah muktamad atau masih boleh dipertimbangkan?

Jika ditanya kepada Sheila sekarang, dia akan berkata ya, memang sudah bulat hati untuk menghentikan program berkenaan. Namun saya sebagai suami, penerbit dan pengarah Ketuk-Ketuk Ramadan, saya mahu peminat tahu ini bukan satu keputusan yang mudah buat Sheila. Sehingga sekarang, dia akan menangis apabila bercakap soal ini.

Tidakkah anda berasa rugi menamatkan program yang sudah mempunyai jenama dan boleh berdiri sendiri seperti Ketuk-Ketuk Ramadan?

Jika kami tidak berhenti sekarang, bila lagi masanya. Tempoh 15 tahun bukan jangka masa yang singkat dan bagi setiap musim, kami perlu memikirkan kelainan agar penonton tidak bosan. Oleh sebab itu, saya katakan Sheila sudah penat. Mungkin cukuplah 15 musim Ketuk-Ketuk Ramadan bersiaran dan meninggalkan memori termanis kepada semua yang pernah menonton atau menjadi tetamu undangannya.

Bagaimanakah suasana saat episod terakhir Ketuk-Ketuk Ramadan dirakamkan?

Semua kru produksi sayu dan kami menangis kerana tidak menyangka perjalanan 15 tahun akan berakhir kali ini. Sesungguhnya saya mewakili JS Pictures mengucapkan berbanyak terima kasih kepada RTM kerana telah memberikan kami rezeki dan peluang selama Ketuk-Ketuk Ramadan bersiaran.

Adakah anda mempunyai perancangan untuk Ketuk-Ketuk Ramadan pada masa hadapan?

Buat masa sekarang, saya belum mahu memikirkan soal itu. Biarlah tahun ini berakhir dahulu barulah saya fikirkan apa yang ingin dibuat andai Ketuk-Ketuk Ramadan mahu dijenamakan semula atau diteruskan semula.

Adakah anda sudah menerima tawaran dari stesen televisyen lain untuk membikin semula program serupa?

Ya, memang ada tetapi saya belum membuat apa-apa keputusan. Jika benar pun, Ketuk-Ketuk Ramadan akan diteruskan di stesen lain, JS Pictures akan mengubah segala-galanya bermula daripada konsep sehingga pengisiannya kerana inti pati program yang asal tidak mungkin terganti atau disamai. - Kosmo