Jumaat, 5 April 2019

Telefilem Rindu Cinta Zulaikha arahan dan lakonan Alif Satar

Setelah hampir sedekad lamanya bergelar penyanyi dan pelakon, Alif Satar melangkah setapak ke depan apabila menjadi penerbit untuk telefilem berjudul Rindu Cinta Zulaikha.


Alif berkata, sebagai selebriti dia ingin mencuba pengalaman baharu dan memberi manfaat kepada khalayak.

“Drama ini untuk siaran RTM. Pertama kali menjadi penerbit saya akui sungguh teruja. Pengalaman ini sangat istimewa kerana selepas 14 tahun, saya rasa sudah tiba masa untuk melangkah ke depan dan mencuba sesuatu yang baharu.

“Saya mahu bekerja secara serius dalam bidang ini. Lakonan, nyanyian dan pengacaraan tetap diteruskan. Insya-Allah selepas ini saya akan bertindak sebagai penerbit untuk sebuah lagi projek penerbitan bersama seorang rakan kongsi,” katanya.


Ditanya mengapa tidak mencuba bidang pengarahan memandangkan dia kini aktif sebagai pelakon, Alif nyata mempunyai alasan tersendiri.

“Saya tiada kesabaran untuk bergelar pengarah. Mungkin tidak buat masa sekarang. Tahun ini banyak perkara yang ingin saya kerjakan. Jenama pakaian saya, Buranku juga memerlukan perhatian. Musim perayaan akan tiba tidak lama lagi dan sudah tentu banyak perkara yang perlu dilakukan,” katanya.


Dalam pada itu, isterinya juga bakal melahirkan anak ketiga pada Oktober depan.

Menurut Alif, dia menyimpan hasrat menimang cahaya mata lelaki apabila isterinya, Shadila Halid kini hamil 12 minggu.

“Ramai juga yang bertanya, mahu anak lelaki atau perempuan kali ini? Namun saya hanya mengharapkan anak yang bakal lahir nanti sempurna dan sihat. Bagaimanapun, jauh dari sudut hati, saya mahukan anak lelaki.

“Isteri mengalami alahan yang agak teruk berbanding dua anak sebelum ini, namun semuanya berada dalam keadaan terkawal,” katanya.

Menurutnya, selepas kejayaan mengadakan persembahan di Sheffield, United Kingdom (UK) Februari lalu, dia sekali lagi mendapat jemputan, namun terpaksa menolak kerana ketika itu isterinya sudah sarat.

“Sebenarnya, saya mendapat jemputan kembali ke UK pada hujung September ini.

“Saya perlu berada di sampingnya kerana bimbang dia bersalin awal daripada tarikh yang dijangka. Insya-Allah, kalau ada rezeki saya akan datang ke sana lagi,” katanya.

Februari lalu, Alif mengadakan persembahan di hadapan sekitar 500 penonton, majoritinya pelajar yang menuntut di UK.

“Pengalaman mengadakan persembahan selama sejam sangat menyeronokkan. Saya mendendangkan 15 lagu termasuk lagu sendiri dan saduran.

“Satu perkara yang membuatkan saya ‘tersedar’ adalah sebenarnya saya sudah tua. Ramai penonton di sana datang kepada saya dan memberitahu, mereka dengar lagu dendangan saya seperti Jangan Nakal dan Khayal ketika berada di bangku sekolah.


Menyentuh mengenai pelantikannya sebagai duta Harman Studio, Alif menganggap tawaran itu adalah rezeki bagi 2019.

“Saya sangat teruja kerana bukan saja menjalankan tanggungjawab sebagai duta, barangan daripada Harman seperti JBL memang digunakan dalam kehidupan seharian.

“Senang cerita, memang kena dengan minat saya yang tidak tertumpu hanya dalam bidang seni saja. Saya juga suka bersukan, jadi peranan sebagai duta akan saya gunakan sebaik mungkin.” katanya.