Isnin, 11 Mac 2019

(Video) Seorang Mati dan 3 Cedera Dipanah Petir Di Shah Alam

Seorang lelaki warga Myanmar meninggal dunia manakala tiga lagi rakannya cedera selepas dipanah petir dalam satu perlawanan bola sepak di padang di Setia Alam, Shah Alam, hari ini.

Seorang Mati dan 3 Cedera Dipanah Petir Di Shah Alam



“Saya lihat sendiri lima mereka terpelanting sebaik disambar petir di tengah padang. Kejadian berlaku dengan pantas selain bunyi dentuman yang kuat”.

Demikian cerita saksi, Zainizam Zambri, 38, yang melihat sendiri dua pemain bola sepak warga Myanmar dari RK FC dan tiga penyokong mereka yang di sambar petir kira-kira jam 5.05 petang, di Padang Bola Sepak Akademi Badminton, di sini, hari ini

Kejadian itu menyebabkan seorang lelaki Rohingya yang merupakan penyokong, Rohimullah, 19, maut di lokasi kejadian manakala tiga lagi mereka dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan.

Difahamkan, seorang pemain enggan dirawat di HTAR dan dilaporkan hanya cedera ringan.

Zambri berkata, selepas terlihat mangsa disambar petir, dia yang merupakan penyelaras dan pengadil perlawanan bersama pemain lain cuba menyelamatkan mangsa ketika cuaca kembali tenang.

"Selepas dipanah petir kelima-lima mereka terpelanting. Kami dapati seorang tidak bernafas dengan kesan melecur pada kaki, seorang kritikal tidak sedarkan diri, manakala tiga lagi cedera ringan.

"Mangsa yang kritikal itu bila kami periksa ada denyut nadi dan kemudian diberikan bantuan kecemasan (CPR) sebelum ambulans tiba," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, sebelum kejadian itu, pengadil perlawanan telah menghentikan perlawanan akibat cuaca tidak mengizinkan, kira-kira jam 4.40 petang namun kesemua mangsa masih berada di tengah padang dan ada yang bermain telefon.

"Pengadil menamat perlawanan lebih awal kerana cuaca tidak mengizinkan (sebelum hujan turun).

“Selain itu, saya selaku penyelaras dan pengadil bola sepak telah mengarahkan semua berteduh di dewan badminton kerana petir sabung-menyabung ketika itu tetapi mereka tetap berada di tengah padang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

Katanya, Abdul Rahman Abul Hussin, 30, tidak sedarkan diri manakala kecederaan dua lagi mangsa iaitu Kamaluddin Abu Tahir, 30 dan Hussein Ahmad Asod Ali, 20, masih belum dikenalpasti.


EmoticonEmoticon