Khamis, 21 Februari 2019

151 Senjata Api Tiruan Bernilai RM60 Ribu Dirampas

151 senjata api tiruan bernilai RM60 ribu dirampas. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan cawangan pelesenan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.


Dalam serbuan jam 3.30 petang itu, premis yang turut menjual alat permainan kanak-kanak itu didapati aktif menjual senjata api tirusan secara terbuka sejak kira-kira empat bulan lalu.

Katanya, hasil serbuan mendapati premis berkenaan menjual pelbagai jenis senjata api tiruan dan komponen tanpa kelulusan pihak berkuasa.

“Hasil siasatan, polis mendapati premis berkenaan turut menempatkan sebahagian daripada senjata api dan komponen tiruan itu di sebuah stor di tingkat dua bangunan berkenaan.

“Dalam serbuan ini, polis merampas sebanyak 151 senjata api dan 283 komponen senjata api tiruan. Nilai rampasan senjata api tiruan ini dianggarkan lebih RM60,000,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Habibi berkata, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti pembekal senjata api tiruan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sehubungan itu, Habibi menasihati orang ramai supaya tidak sesekali menjual, menyimpan atau memiliki sebarang jenis senjata api tiruan kerana ia menyalahi undang-undang.

Katanya, orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ternampak mana-mana individu atau kumpulan mencurigakan membawa senjata api di tempat awam. - HMetro


EmoticonEmoticon