Rabu, 20 Februari 2019

Kategori Bujang Yang Berdaftar BSH Dapat RM100 Pada Hujung Mac

Kategori Bujang Yang Berdaftar BSH

Bayaran bantuan RM100 akan dibuat kepada setiap individu yang berdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data Bantuan Sara Hidup (BSH) 2018.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, bayaran berkenaan akan dibuat hujung Mac ini dan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka.

Menurutnya, bayaran ini akan memanfaatkan lebih daripada tiga juta individu dan membabitkan peruntukan RM300 juta.

“Berdasarkan keputusan Kabinet pada tahun lalu, kerajaan menyediakan BSH tahun ini dengan mengutamakan keluarga dan sudah menyediakan kadar tambahan mengikut bilangan anak di bawah tanggungan.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri menekankan isu tekanan kos sara hidup perlu diberi perhatian bagi semua yang berkeperluan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Guan Eng berkata, disebabkan itu bayaran BSH sebanyak RM300 dibayar 28 Januari lalu kepada semua isi rumah yang berkeluarga walaupun pangkalan data lama yang belum dikemas kini.

“Tambahan pula, Timbalan Presiden Pakatan Harapan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan supaya anak muda yang belum berkahwin dan bekerja tetapi berpendapatan kecil dibantu.

“Lantaran saranan ini dan sebagai menepati hasrat kerajaan berjiwa rakyat yang berkeprihatinan, Kementerian Kewangan sebagai permulaan akan membuat bayaran RM100 kepada setiap individu yang terdaftar di bawah kategori bujang dalam pangkalan data BSH 2018,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, berhubung bayaran selanjutnya, kadar bantuan BSH bagi 2019 untuk golongan bujang akan dikaji semula dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.

Katanya, sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta emel kepada bsh@treasury.gov.my. - HMetro




EmoticonEmoticon