Tuesday, 10 July 2018

Achey Jadi Vokalis Kumpulan Kristal?

Achey Jadi Vokalis Kumpulan Kristal?. Achey atau Mohd Nasir Hamzah, 32, sebaliknya menjelaskan salah faham itu timbul selepas kumpulan rock itu memuat naik videonya menyanyikan lagu Suatu Kenangan bersama Kristal di YouTube dua hari lalu.


Pelawak dan penyanyi Achey menyangkal dakwaan dia bakal menggantikan Lan Solo sebagai vokalis terbaharu kumpulan Kristal.

“Sebenarnya itu hanya projek istimewa, Kristal panggil beberapa penyanyi lain menyanyikan lagu popular mereka termasuk saya dan video itu di muat naik ke YouTube.

“Tak sangka pula ia jadi isu besar... Apabila Kristal minta saya nyanyikan lagu Suatu Kenangan itu saya setuju sebab memang sejak dulu minta mereka.

“Tetapi saya bukannya pengganti Lan seperti diperkatakan,” katanya kepada mStar Online.

Achey ditemui pada sidang media program Super Spontan Xtravaganza yang diadakan pada Isnin.

Ahli kumpulan Bocey itu akan berentap bersama 16 peserta lain termasuk Abam bagi merebut gelaran juara 2018.

Super Spontan Xtravaganza bakal menemui penonton bermula 20 Julai ini, setiap Jumaat pukul 10 malam di Astro Warna.

Dalam pada itu, Achey berkata, sekiranya dia diberi tawaran sebagai vokalis Kristal dia mungkin terpaksa menolak kerana terikat dengan pelbagai komitmen termasuk anak angkatnya, Nur Tiara Zinnirah Nasir yang baharu sahaja berusia dua bulan.

Malah kata Achey, dia tidak melihat dirinya mampu memberi tumpuan sepenuhnya sebagai sebuah kumpulan muzik kerana masih melihat dirinya sebagai seorang pelawak dan penghibur pentas.

“Kalau undangan istimewa itu apa salahnya tetapi untuk komitmen sepenuh masa rasanya sekarang bukanlah masa sesuai.

“Saya tidak bersedia selain melihat diri saya sebagai pelawak dan bukannya penyanyi kumpulan rock... Tanggungjawab itu besar,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Achey berkata, dia sedang dalam proses rakaman single terbaharu yang diciptanya sendiri untuk Nur Tiara berjudul Anak. - MStar


EmoticonEmoticon