Wednesday, 16 May 2018

Video YB Syed Saddiq di Program MeleTOP semalam

Syed Saddiq Abdul Rahman mengagumi Tun Dr Mahathir Mohamad, yang masih aktif bersukan, termasuk menunggang kuda dan berbasikal setiap hujung minggu, walaupun pada usia 92 tahun.


Katanya yang senang dianggap sebagai protege, atau anak didik Dr Mahathir itu, perdana menteri ke-7 yang baru dilantik itu berbasikal setiap pagi Sabtu dan menunggang kuda pada setiap pagi Ahad.

"Saya tengok dia, saya pun boleh rasa penat," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Meletop bersama Neelofa dan Nabil pada Selasa.

"Tun Mahathir memang tegas, sangat menepati masa. Tetapi pada masa sama, beliau sangat 'chill' dan kelakar.

"Mutu kerja dia begitu baik, ia memberi inspirasi kepada saya. Dia bekerja, dan tidak berhenti bekerja.

"Tun M walaupun berumur 92 tahun, dia seperti terperangkap dalam jasad 92 tahun. Semangat dia macam umur 30 tahun," kata Ahli Parlimen Muar itu.

Dalam program televisyen itu, Syed Saddiq turut berkongsi beberapa nasihat Dr Mahathir kepadanya, termasuk supaya dia berpegang kukuh kepada pendirian dan tidak lupa sebab sesuatu pendirian diambil.

YB Syed Saddiq di Program MeleTOP

"Sejauh mana kita pergi, dia kata, jangan lupa pendirian. Itu sangat penting," katanya.

Wakil rakyat berusia 25 tahun itu, yang baru memenangi kerusi Parlimen Muar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini, turut mengakui tidak menyangka beliau akan terlibat berkecimpung dalam dunia politik.

"Pada awalnya, saya memang tidak sangka. Tetapi ada seorang ini, namanya Afiqah Zulkifli, ada satu tindakan yang diambil terhadapnya kerana berani bersuara.

"Kerana orang-orang seperti ini, ia telah membuka mata saya. Saya sedar perlu ada perubahan dan memainkan peranan saya," katanya.

Beliau merujuk kepada exco Majlis Perwakilan Pelajar UIA yang digantung pengajian pada 2015 selepas menjemput pemimpin PKR Rafizi Ramli sebagai penceramah pada satu forum.

Syed Saddiq yang giat memperjuangkan suara orang muda mahu golongan ini tidak berputus asa walaupun berdepan banyak cabaran.

Anak muda ini juga percaya perubahan bukan sahaja patut datang dari ruang lingkup politik, tetapi dari semua lapisan masyarakat. - Awani


EmoticonEmoticon