Thursday, 19 July 2018

Semua Pelajar Pakai Kasut Hitam Di Sekolah, Mula Tahun Depan

Semua Pelajar Pakai Kasut Hitam Di Sekolah, Mula Tahun Depan. Tiada lagi kerja memberus kasut sekolah berwarna putih bagi ibu bapa apabila Kementerian Pendidikan membenarkan semua pelajar sekolah rendah dan menengah untuk memakai kasut berwarna hitam mulai sesi persekolahan tahun hadapan.

kasut sekolah warna hitam

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, peraturan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan dan keluhan ibu bapa dan penjaga yang diterima oleh kementerian sejak beliau dilantik sebagai menteri.

“Ramai ibu bapa, terutamanya kaum ibu menyuarakan hal ini, jadi kami di pihak kementerian akan membenarkan semua pelajar menggunakan kasut berwarna hitam mulai tahun hadapan,” katanya ketika menjawab soalan hadirin pada program Bicara Minda Bersama Menteri Pendidikan, di Shah Alam, hari ini.

Program berkenaan dikendalikan oleh wartawan veteran Tan Sri Johan Jaafar.

Beliau berkata, peraturan itu antara pembaharuan yang dilakukan oleh kementerian bagi memastikan sekolah kebangsaan kembali menjadi pilihan ibu bapa menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu.

“Antara pembaharuan lain yang akan kami lakukan adalah memastikan meringankan beg sekolah para pelajar, menambah baik kurikulum sekolah agar lepasan sekolah kebangsaan bertaraf antarabangsa, dan mengembalikan profesion guru kepada guru, bermaksud tidak membebankan mereka dengan kerja selain mengajar,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media selepas program tersebut, Maszlee berkata, pihaknya akan mendapatkan maklum lanjut daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung tindakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketereh, Kelantan, yang menaikkan sepanduk dalam kawasan sekolah menggesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan agar menukarkan pengetua sekolah itu

“Mereka ini berdemo mungkin kerana ia merupakan jalan terakhir untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dan saya harap PPD tidak akan menghukum mereka (guru) yang terlibat dalam kejadian itu,”katanya.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan berkenaan tidak digalakkan kerana terdapat saluran yang betul untuk para guru ini untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pengetua atau guru besar.

“Guru perlu cuba selesaikan masalah seperti sebuah keluarga terlebih dahulu, jika tidak berjaya, boleh dibawa ke peringkat seterusnya, ke PPD dan kementerian,” katanya.

Mengulas mengenai arahan bertukar ke PPD yang dikeluarkan terhadap pengetua berkenaan, Maszlee berkata ia adalah prosedur standard kerana pengetua berkenaan sedang disiasat. - Bernama


EmoticonEmoticon