Thursday, 19 July 2018

Penerbit Fadzil Teh mahu mengundur diri daripada industri seni

Penerbit Fadzil Teh yang juga merupakan Pengarah Urusan Zeel Production Sdn Bhd meluahkan hasrat mengundurkan diri daripada industri seni tanah air.

Menerusi Instagramnya hari ini, Fadzil atau mesra disapa Haji Zil berkata, itu adalah luahan hatinya yang terlalu penat dengan kerenah industri seni tanah air sekarang.

fadzil teh zeel production

“Bukan kerana merajuk. Saya penat dengan kerenah industri seni kita hari ini terutamanya pelakon-pelakon baru yang banyak kerenah.

“Saya dah bertahun-tahun di dalam industri. Jadi, saya lihat banyak perbezaan antara pelakon dulu dengan sekarang,” kata Fadzil yang juga Pengarah Urusan Zeel Production Sdn Bhd kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Fadzil, pelakon baru kebanyakannya tidak melakukan persediaan lengkap sebelum masuk ke set, sekaligus mengganggu kelancaran penggambaran.

“Mereka minta harga tinggi tapi komitmen mereka tidak setara dengan bayaran. Masuk set tanpa baca skrip dan tak faham jalan cerita adalah sikap tidak sepatutnya ada dalam diri pelakon.

“Bukan saja tak faham skrip malah ada tak faham karakter. Kemudian, bila masuk set baru nak baca skrip, dan pada masa sama nak cari baju dan sebagainya, penggambaran terganggu,” katanya.

Ditanya sama ada dia sendiri ada menegur pelakon generasi baru bersikap sedemikian, Fadzil berkata ia umpama mencurah air ke daun keladi.

“Nasihat pun, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kalau kita nak marah-marah, makin hamun sekali pun, tak guna juga kerana mereka sepatutnya tahu tanggungjawab mereka sebagai pelakon,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, ada juga pelakon yang bila penggambaran bermula akan mula memberi pelbagai alasan untuk tidak hadir ke set.

“Waktu tandatangan kontrak, semua setuju dengan syarat dan jadual. Tapi, bila dah mulakan penggambaran, ada saja alasan bila tak datang ke set,” katanya.

Satu lagi perkara yang membuatkannya rasa penat adalah mengenai kekangan kewangan.

“Kadang-kadang, nak raih keuntungan RM10,000 daripada sesebuah telefilem pun susah. Itu belum kira kos untuk membayar pelakon lagi.

“Untuk bersaing dengan drama atau telefilem lain, tentunya kita akan ambil pelakon sedang popular, tapi harganya pula kadangkala tak masuk akal.

“Harga yang dibayar oleh stesen TV juga buatkan saya sangat penat. Mana tidaknya, harga yang dibayar sama sejak 15 tahun lalu walaupun kini, kos untuk pelbagai benda lain makin meningkat,” katanya.

Menurutnya lagi, dia juga bersimpati dengan kru-kru yang bekerja di belakang tabir.

“Bayangkan, ada kru yang bekerja di belakang tabir, yang kerjanya lebih berat daripada artis tapi nak dapat bayaran RM2,000 ke RM3,000 pun susah.

“Artis lainlah ceritanya kerana dalam pada menjalani penggambaran dengan satu produksi, mereka ada ‘job’ dengan produksi lain juga,” katanya.

Fadzil juga mengharapkan agar ada pihak yang melihat perkara ini sekaligus dapat membawa perubahan kepada industri.

“Pihak kerajaan juga mungkin dapat beri perhatian mengenai perkara ini. Kita nak hasilkan karya yang berkualiti tapi ada terlalu banyak perkara yang menjadi penghalang.

“Contoh lain yang saya boleh bagi adalah dari segi lokasi. Kalau nak jalankan penggambaran di Putrajaya contohnya, caj yang dikenakan juga tak masuk akal.

“Manakala kalau ada production luar negara yang jalankan penggambaran di sini, mereka diberikan ruang untuk jalankan penggambaran secara percuma,” katanya.

Muat naik dikongsikan di akaun Instagramnya itu mendapat perhatian pengikutnya yang mencecah jumlah 53,000 di laman sosial itu. - HMetro


EmoticonEmoticon