Monday, 9 July 2018

Peminat Kopi Hidup Lebih Lama

Satu kajian baharu mencadangkan kafien tidak menyumbang kepada umur lebih panjang dan tabiat minum kopi dikaitkan dengan kadar kematian lebih rendah.

peminat kopi hidup lebih lama

Kajian itu dijalankan ke atas data demografi dan kesihatan 498,134 penduduk British dengan usia purata 57 tahun. Ia turut mempunyai maklumat mengenai tabiat minum kopi mereka dan pelbagai genetik yang mempengaruhi metabolisme kafien. Lebih tiga suku responden minum kopi.

Tinjauan susulan 10 tahun kemudian mendapati 14,255 daripada responden meninggal dunia. Mereka mendapati risiko kematian daripada pelbagai sebab terutamanya kanser, penyakit kardiovaskular merekodkan penurunan sejajar dengan peningkatan pengambilan kopi.

Mereka yang minum secawan kopi sehari mempunyai enam peratus lebih rendah risiko berbanding mereka yang minum lebih rendah daripada kekerapan itu dan mereka yang minum lapan cawan atau lebih kopi sehari mempunyai 14 peratus risiko penyakit lebih rendah.

Kajian itu diterbitkan dalam jurnal Jama Internal Medicine dan disesuaikan mengikut usia, kaum, merokok, jantina, indeks berat badan (BMI) serta beberapa faktor kesihatan dan kelakuan lain.

Pengaruh kopi kepada kesihatan didapati sama tidak mengira kopi biasa atau segera dan sama ada kopi berkafien atau kopi tanpa kafien. Selain itu, kesan manfaat minum kopi juga tidak mengira faktor genetik atau jika seseorang mempunyai kadar metabolisme kafien lebih pantas.

Persoalannya, adakah kajian menerusi pemerhatian ini mencadangkan kita patut minum lebih banyak kopi? Jawapannya tidak, kata ketua penulis kajian merangkap felo National Cancer Institute, Dr Erikka Loftfield.

"Pada peringkat ini, kajian hanya memberikan jaminan kepada peminum kopi, bukan panduan. Keputusan ujian tidak menunjukkan orang ramai patut mula minum kopi untuk manfaat kesihatannya," kata Loftfield. - Agensi/TODAYonline


EmoticonEmoticon