Monday, 9 July 2018

Jual kuih demi sara anak kanser

Zarah Man yang menetap di Kampung Sungai Durian, Pokok Sena, Alor Setar hanya bergantung hidup dengan menjual kuih bagi menyara kehidupan dia dan anaknya, Zulkifli Yusop, 44, yang terpaksa makan dan minum melalui tiub.

zarah man dan anak

Seorang ibu terpaksa mengenepikan usianya yang menjangkau 63 tahun bagi menjaga anak lelakinya yang menghidap kanser esofagus (saluran makanan) sejak setahun lalu.

Katanya, anak tunggalnya itu disahkan menghidap kanser berkenaan tahun lalu, selepas mengalami masalah kurang selera makan dan kerap muntah.

“Ketika itu Zulkifli kerap sakit kerongkong dan muntah selepas makan menyebabkan saya membawanya menjalani rawatan di Hospital Alor Setar sebelum dia dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan disahkan menghidap kanser.

“Selain itu anak saya adalah orang kurang upaya (OKU) sejak lahir dan mengalami masalah pendengaran. Mungkin ini ujian buat saya apabila dia disahkan menghidap kanser pula,” katanya.

Zarah berkata, dia mengalami masalah kesihatan dan kerap kebas tangan, namun terpaksa menggagahkan diri membuat kuih bagi menyara kehidupan mereka.

“Pendapatan menjual kuih tidak menentu, secara purata saya mampu meraih kira-kira RM300 sebulan hasil jualan kuih yang diletak di warung sekitar Pokok Sena.

“Mujur Zulkifli mendapat bantuan bulanan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi digunakan membeli barangan keperluan hariannya serta susu khas,” katanya.

Difahamkan, anaknya itu memerlukan empat tin susu khas berkenaan setiap bulan dan jika bekalan susu habis, Zarah akan mengisar nasi untuk diberi kepada Zulkifli.

Selain itu, Zarah perlu membayar sewa rumah RM150 sebulan selepas suaminya meninggal dunia akibat sakit buah pinggang dan jantung pada 2002.

Sementara itu, nasib menimpa Zarah dan anaknya mendapat perhatian Pengerusi Sukarelawan Kanser Kedah, Zuraini Kamal yang menziarahi mereka, hari ini.

Zuraini berkata, pihaknya sedia memberi sumbangan tepung dan peralatan bagi membantu ibu tunggal itu membuat kuih dan orang ramai yang mahu membantu boleh menghubungi Zarah di talian 012-4548447.


EmoticonEmoticon